PRIMA AKAN TINGKATKAN KUALITI HIDUP RAKYAT MALAYSIA

- Program PR1MA ini merupakan satu lagi agenda Kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia sejajar dengan gagasan 1Malaysia: “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
- Pelaksanaan PR1MA juga akan dapat membantu ke arah mencapai matlamat Dasar Perumahan Negara bagi menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki.
- Pelaksanaan PR1MA akan ditumpukan di kawasan bandar dan pinggir bandar di seluruh negara.
- Walau bagaimanapun, buat permulaan PR1MA akan dilaksanakan di sekitar Lembah Klang di mana permintaan untuk rumah-rumah kos sederhana ini dijangka tinggi dan melebihi penawaran.
- Pembinaan rumah-rumah ini dirancang supaya berdekatan dengan laluan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT.
- Ini adalah untuk memudahkan rakyat, mengurangkan kos pengangkutan dan secara langsung, ini dapat membantu golongan ini berjimat dan meningkatkan “disposable income” yang boleh digunakan bagi memperbaiki kualiti hidup mereka.
- PR1MA ini ditujukan khusus kepada warganegara Malaysia yang berpendapatan sederhana, tetapi tidak lebih daripada RM6,000 sebulan tanpa mengira mereka yang bekerja dengan Kerajaan, swasta ataupun bekerja sendiri.
- Bagi memudahkan pelaksanaan Program Perumahan 1Malaysia, Kerajaan telah menggariskan beberapa parameter untuk panduan pihak berkuasa tempatan dan pemaju-pemaju perumahan. Antara parameter yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:
- Keluasan setiap unit rumah PRIMA adalah antara 800 sehingga 1,400 kaki persegi dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air
- Harga jualan setiap unit rumah PRIMA adalah antara RM150 ribu hingga RM300 ribu, bergantung kepada lokasi dan saiz unit
- Pemohon adalah pembeli kali pertama bagi skim PR1MA dan perlu mendiami rumah tersebut (owner occupied)
- Pemohon boleh mendapatkan pinjaman sehingga 105 peratus daripada institusi kewangan terpilih dengan tempoh pembayaran balik sehingga 30 tahun
- Bagi merancang dan menyelaras pembinaan PR1MA di seluruh negara serta membuat pengagihan rumah kepada pemohon yang layak, satu Unit Khas di bawah Pejabat Perdana Menteri akan ditubuhkan.
- Bagi mengelakkan aktiviti spekulasi di kalangan pembeli yang bertujuan untuk menjual bagi mendapatkan keuntungan serta merta, pembeli unit rumah PR1MA tidak akan dibenarkan untuk menjual rumah tersebut dalam tempoh 10 tahun.
- Tujuan sebenar Kerajaan melaksanakan program ini adalah untuk melihat rakyat menikmati hidup yang lebih selesa dengan memiliki rumah sendiri dan bukannya untuk memberi ruang kepada sesetengah pembeli untuk mengaut keuntungan daripada aktiviti spekulasi.
- Pembeli unit rumah PR1MA layak mendapat pinjaman sehingga 105 peratus daripada institusi kewangan terpilih. Lebihan 5 peratus ini diharap dapat membantu pembeli menanggung kos insurans dan yuran guaman bagi menyediakan perjanjian sewa beli.
- Pembeli mempunyai pilihan untuk menggunakan sebahagian daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung sebahagian bayaran balik pinjaman atau bagi tujuan mendapatkan nilai pinjaman yang lebih tinggi daripada institusi kewangan menerusi mekanisme sedia ada termasuk skim ring-fencing, yang telah ditawarkan oleh beberapa institusi kewangan.
- Pada masa yang sama, saya juga ingin mengumumkan bahawa duti setem akan dikecualikan bagi pembeli rumah di bawah program PR1MA Sesungguhnya, Kerajaan tidak mahu membebani rakyat dan cuba untuk mengurangkan beban kewangan yang perlu ditanggung rakyat.
- Program PR1MA ini akan dilaksanakan melalui kaedah Public Private Partnership, yang mana Kerajaan dan pihak swasta akan bekerjasama ke arah menjayakan skim PR1MA.
- Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan skim PR1MA, Kerajaan bersedia mempertimbangkan bantuan kepada pemaju-pemaju yang terlibat dari segi penyediaan tanah dan dana mudah cara bagi memastikan rumah tersebut dapat ditawarkan pada harga yang ditetapkan oleh Kerajaan.
- Kerajaan juga akan membantu pemaju-pemaju yang terlibat untuk mendapatkan laluan hijau bagi mempercepatkan proses mendapat kelulusan pemajuan perumahan daripada pihak-pihak berkuasa berkaitan.
- Pemaju-pemaju juga digalakkan supaya menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) diketahui ianya menekankan beberapa aspek seperti peningkatan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk dan mempercepatkan tempoh pembinaan.
- Pemaju-pemaju juga hendaklah mengaplikasikan konsep teknologi hijau dan mesra alam dalam pelaksanaan projek PR1MA.
- Dengan cara ini, rakyat bukan sahaja dapat membeli rumah dengan harga yang mampu dimiliki, tetapi juga dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dengan rumah yang berkonsepkan teknologi hijau dan mesra alam ini.
- Kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 20 tapak strategik di Lembah Klang, Rawang dan Seremban bagi pelaksanaan skil PR1MA.
- Sebanyak 8 projek dijangka dapat dimulakan pada tahun ini dan tahun hadapan. Jumlah bilangan unit rumah yang akan dibina di 20 lokasi tersebut dianggarkan sejumlah 42,000 unit.
- Presint 11, Putrajaya telah dipilih untuk menjadi tapak pertama skim PR1MA.
- Projek ini akan menyediakan 560 unit pangsapuri di kawasan seluas 7.6 ekar.
- Projek perumahan yang dilancarkan pada hari ini terdiri daripada unit-unit rumah yang berkeluasan 1,006 kaki persegi dan 815 kaki persegi.
- Projek perumahan ini dilengkapi dengan dewan serbaguna, taska dan tadika, surau dan lot-lot perniagaan dan kedai.
- Banyak lagi rumah-rumah di bawah PR1MA akan dibina di Putrajaya.
- Selain daripada projek yang akan dilancarkan hari ini, 5,284 unit rumah akan dibina dalam tempoh lima tahun akan datang.
- Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,317 akan dibina pada tahun 2012, 1,107 unit pada tahun 2013 dan selebihnya dalam tahun 2015 dan 2016.
- Kerajaan juga sedang mengenal pasti tapak-tapak di bandar-bandar besar lain untuk dilaksanakan projek ini.
- Komitmen Kerajaan untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat selari dengan hasrat kita untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
- Rebutlah peluang yang Kerajaan berikan ini dan melalui Program ini, saya percaya golongan sasaran akan menikmati hidup yang lebih selesa selaras dengan gagasan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
No comments:
Post a Comment